29Apr

BUKAN TELUR PLASTIK – HARIAN METRO – 28/04/2020

KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengesahkan tiada telur plastik seperti yang tular di media sosial sejak beberapa hari lalu.

Pengarah Bahagian Penguatkuasa KPDNHEP, Datuk Iskandar Halim Sulaiman berkata, siasatan mendapati telur berkenaan adalah telur ayam yang biasa dan tidak mengandungi plastik seperti didakwa pihak tertentu.

Menurutnya, sepasukan pegawai Penguatkuasa KPDNHEP Seberang Perai, Pulau Pinang sudah menjalankan siasatan ke atas premis yang dikaitkan dengan video berkenaan yang didakwa menjual telur mengandungi plastik.

Katanya, pemeriksaan mendapati tempat yang didakwa itu adalah ibu pejabat syarikat yang digunakan untuk membungkus dan menyimpan telur sebelum diedarkan sekitar Pulau Pinang.

“Syarikat ini mempunyai ladang di Taiping Perak. Telur yang dihasilkan di Taiping akan diproses dan dibawa ke sini untuk diedarkan.

“Kita dimaklumkan pemilik syarikat bahawa beliau mengetahui tentang video yang ditularkan dan memaklumkan telur keluaran syarikatnya tidak mengandungi plastik seperti yang didakwa dan laporan polis sudah dibuat mengenainya.

“Saya tegaskan bahawa tidak ada telur plastik yang dijual di pasaran. Kemungkinan apa yang berlaku ialah disebabkan perkara lain, bukannya telur plastik,” katanya.

Beliau berkata, Jabatan Veterinar juga sudah menjalankan siasatan kes berkenaan dan beberapa sampel juga sudah diambil.

“Kita minta orang awam tunggu hasil ujian daripada jabatan berkenaan sebelum sebarang tindakan diambil. Sebarang aduan boleh dikemukakan kepada kementerian melalui Pusat Arahan Penguatkuasaan (ECC) di 0388826088 atau 0388826245 atau emel ke e-aduan@ kpdnhep.gov.my,” katanya.

Sementara itu, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM ) Datuk Nadzim Johan berkata, pihaknya turut menerima aduan mengenai isu berkenaan.

Katanya, ia menimbulkan kebimbangan masyarakat terutama ketika umat Islam menjalani ibadah puasa.

“Jadi kita minta ia disiasat sebaik mungkin kerana tidak mahu ada yang menjadi mangsa. Ia perlu dipastikan telur betul yang tidak dicampur dengan bahan lain yang boleh mengundang isu halal,” katanya.

Artikel oleh: Harian Metro

BUKAN TELUR PLASTIK

https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2020/04/572211/bukan-telur-plastik

Leave a reply